Sukan merupakan sejenis kegiatan yang memerlukan ketangkasan dan
tenaga yang tertentu. Aktiviti sukan biasanya dapat dijalankan pada
waktu pagi, petang atau malam. Terdapat pelbagai jenis sukan seperti
acara balapan dan padang, bola keranjang, badminton, bola sepak, bola
tampar dan lain-lain lagi. Kebanyakan pelajar mempunyai hobi bersukan
dan aktif dalam pelbagai acara sukan. Setiap sekolah wajib mengadakan
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan selama sejam pada setiap minggu untuk
menggalakkan pelajar menceburi bidang sukan dan permainan sejajar dengan
dasar Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu 1Murid 1Sukan.
Sebenarnya, sukan memberikan pelbagai manfaat dan faedah kepada
golongan pelajar. Pertama-tama, pelajar-pelajar dapat mengisi masa
lapang masing-masing dengan berfaedah. Hal ini dapat mengelakkan
pelajar-pelajar daripada melibatkan diri dalam gejala sosial yang boleh
memberikan kesan buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara
seperti budaya lepak, vandalisme, gengsterisme, merokok, menyalahgunakan
dadah dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga dapat mengelakkan diri
daripada membazirkan masa kerana masa ibarat emas.
Selain itu, pelajar-pelajar dapat mencungkil bakat dan kebolehan
diri dalam bidang sukan. Melalui sukan, pelajar-pelajar dapat mengetahui
dan mengembangkan potensi diri masing-masing. Pelajar-pelajar juga
dapat mempelajari dan menguasai kemahiran hidup yang berharga seperti
bekerjasama dan bertoleransi melalui aktiviti sukan. Sikap-sikap
tersebut bukan sahaja diwajibkan ketika bersukan malah juga amat
diperlukan ketika pelajar-pelajar mengikuti sesi pembelajaran atau
menjalani aktiviti bersama-sama pelajar yang lain.
Di samping itu, pelajar-pelajar dapat memperlihatkan kemajuan dari
segi fizikal dan mental selepas bersukan. Pelajar-pelajar dapat
mengekalkan kesihatan badan kerana berpeluh dapat membakar kalori dalam
badan sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada
penyakit-penyakit serius seperti obesiti, kencing manis dan sakit
jantung. Pada masa yang sama, bersukan juga dapat mencerdaskan minda
pelajar-pelajar dalam buana pendidikan.
Seterusnya, pelajar-pelajar yang aktif dalam sukan dapat dipilih
untuk menyertai pelbagai acara sukan sama ada di peringkat daerah,
negeri, kebangsaan ataupun di arena antarabangsa. Dengan ini,
pelajar-pelajar dapat mengharumkan nama sekolah dan keluarga di persada
sukan nasional dan antarabangsa seperti Datuk Nicole David.
Pelajar-pelajar tersebut juga berkeupayaan untuk memperoleh keputusan
yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan berkelayakan untuk
dianugerahi “Tokoh Pelajar” dan olahragawan atau olahragawati di
peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.
Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa bidang sukan membawa
faedah-faedah kepada golongan pelajar. Pihak sekolah perlu menganjurkan
berbagai-bagai aktiviti di sekolah bagi mengalakkan pelajar bersukan.
Ibu bapa juga harus bersikap prihatin akan minat dan kebolehan anak-anak
dalam bidang kokurikulum, khususnya sukan dan permainan. Seorang
pelajar yang cemerlang bukan sahaja perlu mahir dalam akademik malah
juga perlu mengambil berat dan gemilang dalam bidang kokurikulum
akademik dan sukan. http://chaimestm.blogspot.com
No comments:
Post a Comment