Setiap
pelajar sudah pasti mempunyai hasrat untuk menjadi pelajar yang
cemerlang dalam pelajaran mereka. Oleh kerana mereka tidak mempunyai
wang ringgit untuk membalas jasa ibu bapa mereka, maka hadiah yang
paling bererti merupakan kecermelangan dalam setiap peperiksaan sebagai
salah satu cara untuk membalas jasa mereka.
Untuk
cemerlang dalam pelajaran,setiap pelajar perlu sentiasa memberi tumpuan
sewaktu guru mengajar. Ketika guru mengajar, mereka seharusnya
mengetepikan segala masalah yang tidak berkaitan dengan pelajaran.
Sekiranya tidak memahami apa yang telah diajar, mereka tidak perlu
berasa segan untuk bertanya. Tamatnya sesi persekolahan tidak bermakna
sesi pembelajaran juga turut tamat. Sebaliknya, mereka juga harus segera
membuat latihan. Jika kerja sekolah sudah selesai, ulangkaji sendiri
tanpa disuruh, mereka tidak seharusnya bersikap bagai pahat dengan
penukul. Bila disuruh barulah dibuat.
Selain
itu, alternatif lain untuk meningkatkan prestasi pelajar di kelas juga
perlulah dilaksanakan. Kelas tambahan amat berfaedah untuk menambahkan
pemahaman akan sesuatu matapelajaran. Di kelas, jumlah pelajar yang
banyak menyebabkan guru tidak mampu memberi perhatian yang lebih. Dengan
jumlah murid yang sedikit di kelas tambahan, para pelajar lebih
berpeluang untuk bersoal jawab sekaligus meningkatkan pemahaman mereka
sendiri terhadap pelajaran yang diajar..
Pemakanan
yang seimbang amat penting kepada tubuh badan mereka. Sekiranya minda
mereka cergas, mereka tidak akan mudah mengantuk di dalam kelas dan
pelajaran juga mudah untuk difahami. Elakkanlah makan makanan yang
ringan dan memudaratkan, tetapi lebihkanlah memakan buah-buahan dan
meminum air kosong.
Sebagai
seorang pelajar, para Guru dan ibu bapa perlulah dihormati agar
keberkatan dalam pelajaran mudah untuk diperolehi ketika belajar.
Sebelum ke sekolah, mereka perlulah mencium tangan ibu dan ayah untuk
memohon restu. Di sekolah pula, budi bahasa juga perlu dijaga, jangan
sampai guru jauh hati. Sebaik-baiknya, sikap ringan tulang untuk
membantu guru seharusnya diamalkan.
Demikianlah
serba sedikit ciri-ciri untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
Sebenarnya, mentimun dan pisau berada di tangan kita, jadi kitalah yang
sewajarnya mencorakkan nasib kita sendiri dan bukannya orang lain. Oleh
itu, berusahalah membalas jasa orang yang kita sayangi itu dengan
menjadi murid yang cemerlang. Tetapi, jangan pula menjadi seperti kacang
lupakan kulit bila sudah berjaya kelak.
No comments:
Post a Comment